Sayang

Assalamualaikum w.b.t

بسم الله الرحمن الرحيم

Seusai solat Maghrib secara berjemaah, terlintas hati kakaknya untuk mengajak dua adik perempuannya duduk menghadapnya. Sambil tersenyum.

Kakak: Adik tahu kenapa kita kena solat?

Ena & Eya: Tahu!

Niat di hati kakaknya, ingin menguji kefahaman adik-adiknya. Adakah sekadar solat tanpa mengetahui tuntutan-tuntutan yang Allah berikan. Sambil dalam hati, si kakak berdoa supaya adiknya TAHU dan FAHAM.

Kakak: So, kenapa?
Ena: Solat itu tiang agama. Solat itu wajib.
Eya: Ustazah cakap solat itu kita kena buat.
Ena: Nak masuk syurga kena solat.
Eya: Kalau tak solat masuk neraka.
Eya: Allah suruh solat.

Bertubi-tubi jawapan yang diberikan. Kepala kakaknya tak habis berpaling berkali-kali setiap kali jawapan yang diberikan. Kakaknya bermonolog, "Ah! ayat buku lagi. Macam mana aku nak cakap ni?" dan terukir kekecewaan di hati.

Kakak: Adik pasti ke ini sebab adik solat?

"YA!", mereka menjawab bersama-sama dengan nada yang bersemangat.

Kakak: Adik tahu macam mana kita nak bersyukur pada Allah?
Eya: Puasa.
Ena: Derma.
Eya: Berzakat.
Ena: Membuat kebaikan.
Kakak: Ha lagi?
Ena: Cakap terima kasih.

"Aduh! Mana perkataan solat ni?", bentak hati kecil kakak sambil mengerut dahi yang kurang luasnya.

Kakak: Solat itu tanda kita syukur. Tanda kita berterima kasih pada Allah. Apa Allah bagi, kita mestilah berterima kasih kan? Ye, solat puasa zakat memang wajib tapi, solat pun tanda kesyukuran kita jua.

Kedua-dua muka adiknya biasa sahaja. Entah faham entah tidak. Kakaknya cuba menghela nafas panjang, mengorek idea-idea untuk menstruktur ayat yang mudah difahami.

Kakak: Hari ni Allah bagi apa kat adik?

Kedua-dua adiknya senyap. Kedua-dua bebola mata mereka bergerak ke atas kanan dan kiri. Cuba berfikir panjang.

Kakak: Allah bagi mata, hidung, mulut, telinga, kaki dan nyawa. Cuba adik fikir orang yang tiada apa yang adik ada. Contohnya, dia sakit lepas tu terlantar atas katil tapi Allah bagi adik kesihatan yang baik.

Mereka mengangguk faham.

Ena: Allah bagi saya iPad.

Kakaknya menggeleng sambil membalas, "Haa. Pun boleh."

Kakak buntu untuk meyakinkan bahawa semua yang kita lakukan untik Allah. Bukan sekadar Allah suruh itu ini.

"Mungkin mereka masih kecil", bentak hati Kakak. Masih cuba mengawal emosi.

"Salah aku."